KUALA LUMPUR, 4 Ogos — BERSATU Kota Raja menzahirkan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus memegang jawatan sebagai Perdana Menteri ke-8.

Ketua Bahagiannya, Wan Dzahanurin Ahmad berkata sokongan ini berdasarkan kepada tinjauan yang telah kami lakukan dari segenap lapisan masyarakat di setiap Bahagian tanpa mengira bangsa dan agama.

“Dengan ini kami berdoa dan berharap agar tiada sesiapapun yang cuba mempertikaikan keupayaan dan kemampuan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mentadbir dan menerajui Kabinet kerajaan Perikatan Nasional sejak mula mengambil alih tugas yang beliau sandang sehingga hari ini dengan penuh tanggungjawab demi memastikan seluruh rakyat Malaysia dan negara menjadi sebuah negara yang aman damai dan makmur,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas mesyuarat MKT pada Selasa mengumumkan bahawa surat akuan bersumpah (SD) ahli-ahli Parlimen UMNO yang mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri telah pun dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Senarai 12 ahli Parlimen UMNO yang disahkan menarik sokongan daripada kerajaan PN adalah diketuai Ahmad Zahid sendiri selaku Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Beliau diikuti Datuk Seri Najib Tun Razak (Pekan); Datuk Seri Azalina Said Othman (Pengerang); Datuk Seri Mohd Nizar Zakaria (Parit); Datuk Seri Azeez Abdul Rahim (Baling); Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang); Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut); Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang); Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian); Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands).