KUALA LUMPUR, 4 Ogos — Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengakui terkejut dan kecewa dengan keputusan terkini UMNO menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga mencetuskan kacau-bilau politik pada saat krisis pandemik COVID-19.

Tambah beliau, sepatutnya pucuk kepimpinan UMNO meletakkan kepentingan negara mendahului politik kepartian pada saat krisis pandemik COVID-19 masih lagi memuncak.

“Bila keadaan sebegini berlaku, keputusan UMNO itu meletakkan negara dalam situasi kacau bilau politik, lebih-lebih lagi pada saat masih ramai rakyat menderita akibat pandemik.

“Saya berpandangan UMNO sepatutnya bersikap lebih bertanggungjawab dengan cenderung tidak mencetuskan ketidakstabilan politik pada saat genting ketika ini.

“Implikasi paling teruk akan dirasai rakyat memandangkan mereka akan menjadi lebih susah, terutama pada saat pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengulas tanda-tanya kedudukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan ketika ini susulan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memuktamadkan pendirian menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas mesyuarat MKT pada Selasa mengumumkan bahawa surat akuan bersumpah (SD) ahli-ahli Parlimen UMNO yang mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri telah pun dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Senarai 12 ahli Parlimen UMNO yang disahkan menarik sokongan daripada kerajaan PN adalah diketuai Ahmad Zahid sendiri selaku Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Beliau diikuti Datuk Seri Najib Tun Razak (Pekan); Datuk Seri Azalina Said Othman (Pengerang); Datuk Seri Mohd Nizar Zakaria (Parit); Datuk Seri Azeez Abdul Rahim (Baling); Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang); Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut); Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang); Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian); Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands).

Keputusan itu, dakwa Zahid sudah menunjukkan kepimpinan Muhyiddin hilang majoriti dan keabsahan selaku ketua kerajaan.

Berkenaan dakwaan kerajaan PN sudah hilang keabsahan, Ahmad Faizal atau lebih dikenali Peja mengakui perkara itu mungkin boleh jadi kebenaran sekiranya jumlah 12 ahli Parlimen UMNO yang bersama-sama Ahmad Zahid, benar-benar menandatangani SD sebagaimana didakwa.

Bagaimanapun, bekas Menteri Besar Perak itu berpandangan Yang di-Pertuan Agong boleh mempertimbangkan kaedah penubuhan kerajaan minoriti sekiranya kedudukan Parlimen tergantung kelak.

Jelas Peja yang juga Ahli Parlimen Tambun, penubuhan sebuah kerajaan minoriti bukan suatu perkara janggal dengan seseorang ahli Parlimen yang mempunyai jumlah sokongan ahli Parlimen terbanyak meskipun tidak capai sokongan majoriti, boleh dipertimbangkan Yang di-Pertuan Agong sebagai perdana menteri baharu.

“Bila Zahid kata sudah persembahkan SD ahli Parlimen mencukupi kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menjatuhkan kerajaan PN, berdasarkan kehadiran 10 ahli Parlimen lain yang berdiri bersama beliau, kita sudah nampak yang kerajaan PN boleh jatuh dengan angka itu.

“Cuma sekarang ke mana arahnya ahli-ahli Parlimen UMNO yang tidak lagi menyokong PN ini? Kalau sokongan mereka kepada calon perdana menteri baharu berpecah-pecah, jadi kemungkinan tiada pihak mempunyai jumlah majoriti sokongan ahli Parlimen yang jelas.

“Dalam soal sekarang, kemungkinan akan berlaku Parlimen tergantung kerana ketiadaan parti yang memiliki sokongan majoriti. Ada kaedah-kaedah lain yang boleh dibuat bagi menubuhkan kerajaan baharu, salah satunya menerusi kaedah kerajaan minoriti,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Faizal menegaskan kaedah penubuhan kerajaan minoriti tidak boleh disamakan dengan kerajaan interim yang lebih bersifat sementara dan ditubuhkan atas tujuan persediaan bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) baharu.

“Bahkan sekiranya Tan Sri Muhyiddin atau Najib sekali pun mempunyai jumlah sokongan ahli Parlimen terbanyak meskipun tidak capai majoriti, maka kerajaan minoriti itu tidak semestinya masih kekal dipanggil kerajaan PN.

“Segalanya terpulang kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam mempertimbangkan kaedah terbaik untuk menubuhkan kerajaan baharu sekiranya tiada pihak mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen kelak,” katanya.