KUALA LUMPUR, 4 Ogos — Sebarang langkah politik dibuat pucuk kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) termasuk peletakan jawatan Perdana Menteri, perlu dimaklumkan terlebih dahulu kepada semua pemimpin parti itu melalui Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata mana-mana pemimpin BERSATU tidak boleh membuat sebarang keputusan unilateral kerana tindakan sebegitu dibimbangi akan menimbulkan ketidakstabilan dalam parti sendiri kelak.

Jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) itu, BERSATU perlu belajar daripada masalah perpecahan berlaku dalam UMNO yang akhirnya menampakkan kelemahan parti itu sendiri pada mata umum.

“Kalau itu (tindakan peletakan jawatan) hendak dilaksanakan tanpa memaklumkan kepimpinan BERSATU (MPT), maka saya bimbang akan timbul ketidakstabilan dalam BERSATU sendiri kelak.

“Apa jua langkah politik dibuat, perkara itu perlu dibincangkan dalam mesyuarat MPT dengan mana-mana pemimpin tidak boleh buat sebarang keputusan unilateral,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tanda-tanya kedudukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan ketika ini susulan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memuktamadkan pendirian menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas mesyuarat MKT pada Selasa mengumumkan bahawa surat akuan bersumpah (SD) ahli-ahli Parlimen UMNO yang mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri telah pun dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Senarai 12 ahli Parlimen UMNO yang disahkan menarik sokongan daripada kerajaan PN adalah diketuai Ahmad Zahid sendiri selaku Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Beliau diikuti Datuk Seri Najib Tun Razak (Pekan); Datuk Seri Azalina Said Othman (Pengerang); Datuk Seri Mohd Nizar Zakaria (Parit); Datuk Seri Azeez Abdul Rahim (Baling); Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang); Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut); Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang); Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian); Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands).

Keputusan itu, dakwa Zahid sudah menunjukkan kepimpinan Muhyiddin hilang majoriti dan keabsahan selaku ketua kerajaan.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan atau lebih dikenali Pak Wan berkata, dalam konteks bidang kuasa Perdana Menteri yang dipegang Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ini, beliau mengakui pemimpin itu mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan struktur kepimpinan negara.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Alor Gajah itu menegaskan sekalipun Muhyiddin bersetuju meletak jawatan Perdana Menteri untuk diserahkan kembali kepada Yang di-Pertuan Agong bagi penentuan kerajaan baharu, perkara itu masih perlu dibincangkan dahulu di peringkat kepimpinan parti.

“Namun saya yakin perkara itu tidak akan berlaku.

“Muhyiddin masih diberi kepercayaan untuk mengemudi kerajaan PN dengan ahli-ahli Parlimen BN masih memberikan sokongan padu kepada beliau kecuali segelintir pemimpin sahaja,” katanya.

Pak Wan turut menegaskan kerajaan PN tidak memerlukan sebarang perubahan kepimpinan termasuk jawatan Perdana Menteri pada saat genting kini.

Sebaliknya beliau berpendapat semua pihak perlu menghentikan sebarang polemik politik, sebaliknya fokus membantu kerajaan menangani krisis COVID-19 yang semakin membimbangkan ketika ini.

“Yang mencetuskan dakwaan kerajaan PN sudah tiada majoriti adalah orang yang sengaja mengada-adakan cerita untuk menimbulkan ketidakstabilan politik negara.

“Begitu juga dengan tindakan menganjurkan perarakan ke Parlimen pada Isnin. Ia dibuat semata-mata untuk memberikan persepsi kerajaan gagal dan lemah,” katanya.