JOHOR BAHRU, 4 Ogos — Wanita Perikatan Nasional (PN) Johor mahu semua pihak bertenang dan tidak mencetuskan krisis politik baharu selepas pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari ini bahawa beliau masih lagi Perdana Menteri.

Ketua Penerangan Wanita PN Johor, Normala Sudirman berkata, kestabilan politik amat diperlukan ketika ini dalam membantu Perdana Menteri menguruskan negara dalam keadaan kes COVID-19 kian meningkat.

“Janganlah ada pihak yang cuba-cuba keruhkan keadaan. Cukup-cukuplah, semua pihak perlu tumpu masalah rakyat dan selesaikan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Hari ini Muhyiddin mengumumkan beliau masih lagi Perdana Menteri yang mendapat sokongan ahli Parlimen setelah menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Dalam pengumuman tersebut, beliau menegaskan akan menentukan keabsahan dalam sidang Parlimen, September ini.

Dalam pada itu, Normala mendakwa, pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak serius membawa isu berkaitan COVID-19 dan masalah rakyat, malah mensia-siakan peluang yang ada semasa sidang khas Parlimen hujung bulan lalu.

“Apa yang paling mendukacitakan ruang yang sepatutnya digunakan untuk menyelesaikan masalah rakyat tidak dimanfaatkan sebaiknya akibat mabuk kuasa tanpa menyelami denyut nadi kesusahan rakyat .

“Paling menyedihkan ketika Perdana Menteri meminta sidang dewan membaca Al-Fatihah dan bertafakur mendoakan mangsa COVID-19 yang telah meninggal dunia, Ahli Parlimen PH membuat bising dan langsung tidak menghormati saranan itu,” katanya.