PUTRAJAYA, 6 Ogos — Program Vaksinasi Barisan Hadapan Industri Agromakanan (AiVAC) termasuk untuk golongan peladang, penternak dan nelayan akan dilaksanakan tidak lama lagi, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

“AiVAC bertujuan meningkatkan pengambilan vaksinasi dalam kalangan pekerja dan individu yang terbabit dalam sektor agromakanan sekali gus membantu kerajaan mencapai imuniti kelompok bagi membendung penularan COVID-19,” katanya.

Berucap sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2021 yang disiarkan menerusi laman Facebook rasmi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) hari ini, Ronald berkata inisiatif itu juga adalah untuk melindungi kesejahteraan pekerja serta membantu pemulihan ekonomi dan rantaian nilai makanan.

Beliau berkata AiVAC itu melibatkan kerjasama antara Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) termasuk jabatan dan agensi di peringkat Persekutuan, negeri dan daerah, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF).

Mengenai usaha membantu peladang, penternak dan nelayan yang terjejas akibat pandemik COVID-19, Ronald berkata program bakul makanan MAFI Prihatin telah digerakkan ke seluruh negara dan sehingga kini, telah memanfaatkan 63,000 penerima di 300 lokasi.

“Saya menyedari bahawa penularan COVID-19 memberi kesan kepada golongan peladang, penternak dan nelayan sehingga ada antara mereka terjejas pendapatan dan terputus bekalan makanan. Justeru, MAFI melalui jabatan dan agensi sedang giat menggerakkan program MAFI Prihatin ini,” katanya.

Ronald berkata kerajaan juga telah meluluskan peruntukan Prihatin Dana Khas sebanyak RM62 juta kepada Pertubuhan Peladang di seluruh negara untuk membantu kumpulan sasar yang terjejas.

Beliau berkata golongan B40 mendapat perhatian kerajaan menerusi projek tanaman kontan yang melibatkan peruntukan RM13.21 juta untuk membantu golongan tersebut menjana pendapatan dalam tempoh yang cepat.

Ronald menggalakkan usahawan mikro dan komuniti B40 yang terlibat dalam sektor pertanian dan industri makanan untuk memohon kemudahan pembiayaan yang disediakan kerajaan melalui Agrobank.

Menurutnya, Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank melibatkan peruntukan sebanyak RM850 juta melalui RM350 juta yang diperuntukkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan RM500 juta di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Mengenai kekangan yang dihadapi pesawah pula, Ronald dalam ucapannya itu turut memaklumkan bahawa kerajaan akan meneruskan semua program input dan output pertanian bersubsidi untuk menyokong industri padi negara.

Ia meliputi Insentif Benih Padi Sah, Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan, Skim Insentif Pengeluaran Padi, Skim Baja dan Racun Padi Bukit serta Skim Subsidi Harga Padi, yang melibatkan peruntukan sebanyak RM1.57 bilion melalui Belanjawan 2021, katanya.