KOTA KINABALU, 7 Ogos — Pindaan terhadap Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) 1965, antara lain bagi membolehkan FAMA mengurus pemasaran produk ternakan, akan dibawa ke Parlimen.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata pindaan itu akan membuka skop lebih luas dalam peranan FAMA memasarkan produk pertanian dan ternakan, selain membantu penternak dan usahawan tani memasarkan produk mereka dengan cara yang lebih berkesan.

Katanya, FAMA mengambil peranan untuk turut mengedarkan produk ternakan serta menstabilkan rantaian bekalan produk berkenaan bagi memastikan bekalan ternakan sentiasa berada di dalam pasaran serta rantaian bekalannya tidak terganggu.

“Sekarang FAMA hanya terlibat (pemasaran) produk agromakanan bukan ternakan, ini (cadangan pindaan) akan diolah oleh kementerian (Pertanian dan Industri Makanan) sebelum diangkat ke sidang Parlimen yang terdekat.

“Ini juga memberikan penternak dan usahawan tani akses pemasaran yang lebih luas malah sehingga luar negara selain mewujudkan sistem rantaian pemasaran yang lebih baik dan teratur,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kompleks Pemasaran FAMA Sabah pada Sabtu.

Pada majlis sama, beliau turut menyerahkan bantuan MAFI Prihatin kepada 250 usahawan Pasar Tani, industri makanan dan Gerai Buah-buahan Segar FAMA yang terkesan akibat penularan COVID-19.

Sementara itu, Ronald berkata Pusat Pemprosesan Buah-Buahan Sabah yang merupakan sebahagian daripada pelan Kompleks Pemasaran FAMA Sabah kini sedang dibina dengan kos RM5 juta melalui Pakej Rangsangan Ekonomi dan dijangka siap pada Ogos tahun depan.

Beliau berkata pusat itu secara khususnya akan memberi kemudahan dan persediaan kepada golongan sasar terutama usahawan tani di samping membantu mereka memasarkan hasil pertanian bagi mengelakkan daripada berlaku lebihan atau lambakan hasil pertanian.

“Pusat ini mampu memproses 1,500 tan metrik durian, 288 tan metrik kelapa, 240 tan metrik nenas MD2, 960 tan metrik sayur kobis menjelang 2025 bagi pasaran tempatan dan eksport.

“Selain itu, ia juga berperanan memproses buah-buahan sebagai produk sejuk beku dan produk pemprosesan minimum,” katanya.