KUALA LUMPUR, 7 Ogos — Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui program ‘Rakan Muda Comfort Room’ menawarkan perkhidmatan kesihatan mental kepada belia yang terkesan, sepanjang tempoh atau pasca pandemik.

Timbalan menterinya Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, antara perkhidmatan ditawarkan oleh Rakan Muda Comfort Room adalah, sebagai pusat sokongan kesihatan mental dan juga program intervensi awal, penilaian kesihatan mental, aktiviti kumpulan sokongan- ‘Circle Time’ serta ceramah dan program kesedaran kesihatan mental.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata Rakan Muda Comfort Room akan beroperasi secara harian, sama ada secara dalam talian atau bersemuka, bergantung kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Sehubungan itu, saya mempelawa anak muda di Kuala Lumpur dan sekitarnya, untuk memanfaatkan perkhidmatan yang bakal disediakan ini,” katanya ketika merasmikan Forum Kesihatan Mental Young Minds: Time To Act secara maya pada Jumaat.

Katanya program dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) itu, adalah manifestasi sinergi yang baik antara kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil, bagi memberi sokongan kepada anak muda di sekitar Kuala Lumpur.

Menurutnya kesihatan mental bukanlah suatu topik yang baharu, namun menjadi semakin menekan akibat pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia sejak hujung tahun 2019.

“Lebih membimbangkan apabila kajian menunjukkan pada tahun 2020, masalah kesihatan mental merupakan masalah kedua terbesar yang akan membunuh rakyat Malaysia. Sebanyak 1,738 kes bunuh diri dicatatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2019 hingga Mei lalu.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan untuk berkolaborasi dengan KBS berkaitan kesihatan mental, untuk membantu masyarakat dalam situasi sukar ketika ini.