KUALA LUMPUR, 7 Ogos — Tindakan beberapa ahli parlimen UMNO yang meletakkan jawatan sebagai menteri dan melepaskan jawatan dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC) baru-baru ini dilihat tidak bertanggungjawab dan bermotifkan kepentingan peribadi kepimpinan utama UMNO.

Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Mahathir Rais berkata ketidakpuasanhati pihak UMNO (atau lebih tepat lagi sebahagian pimpinan utama UMNO) tidak puas hati bukanlah kerana pembahagian jawatan tetapi lebih kepada kepentingan peribadi kepimpinan utama UMNO yang terlibat dengan kes-kes mahkamah.

“Adakah parti UMNO sudah tidak dapat diselamatkan lagi sehingga sanggup membiarkan pemimpin mereka memecahbelahkan perpaduan politik Melayu yang tidak pernah dinikmati oleh negara sebelum ini semata-mata kerana mahu merampas kuasa dan mengelak dari ke penjara,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Memburukkan lagi keadaan, di kala negara berhadapan dengan pandemik COVID-19, segelintir ahli parlimen UMNO yang diberi amanah dan tanggungjawab pula bertindak meninggalkan jawatan di waktu sukar semata-mata atas alasan bermotifkan politik dan membelakangkan kepentingan rakyat.

“Bayangkanlah dengan pasukan barisan hadapan kita yang berhempas pulas siang dan malam menghadapi penularan wabak ini.

“Dengan pasukan perubatan, doktor dan jururawat bertarung dengan masa untuk menyelamatkan pesakit. Ada yang keletihan kerana bekerja dalam tempoh yang lama. Tidak kurang juga, kakitangan perubatan yang jatuh sakit dan terkena wabak yang tidak berperikemanusiaan ini,” katanya.

Mahathir mempersoalkan adakah mereka sanggup mengadaikan penyatuan bangsa Melayu dan agama Islam yang pertama kali dalam sejarah bergabung membentuk sebuah pakatan besar ini demi mengikut telunjuk pemimpin parti yang hayat politik mereka ‘ibarat telur dihujung tanduk’.

Tambah beliau, dalam islam, jika berlaku peperangan, pemimpin adalah merupakan benteng serta kekuatan kepada barisan tentera.

“Tetapi, jika mereka takut lalu melarikan diri semasa di dalam peperangan itu ia adalah penghinaan kepada Allah dan Islam,” katanya.

Mahathir turut mengingatan kepada ahli parlimen UMNO yang terlibat, perbuatan mereka adalah keingkaran terhadap Institusi Diraja.

“Dari segi hubungan dengan rakyat, perbuatan mereka itu adalah pengkhianatan,” katanya.