KUALA LUMPUR, 6 Ogos — Armada BERSATU Melaka menyifatkan tuduhan dan tohmahan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap Ketua Armada BERSATU, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebagai tidak berasas demi kepentingan popularitinya.

Ketuanya Muhammad Afiq Nazmi Azharin berkata tuduhan tersebut boleh mencemarkan kredibiliti Wan Ahmad Fayhsal memandangkan hubungan mereka akrab satu ketika dahulu.

Menurutnya, kepimpinan Armada ketika di bawah pentadbiran Syed Saddiq adalah sangat carca marba dan tidak mempunyai pengurusan yang sistematik daripada pucuk pimpinan sehingga ke peringkat akar umbi.

“Akan tetapi Armada Melaka ingin memuji pertemuan tersebut kerana persahabatan antara Wan Ahmad Fayhsal dan Syed Saddiq sangat akrab satu ketika dahulu. Semestinya perkongsian pengalaman yang lalu pada waktu ketika ini amat perlu kerana pentadbiran Syed Saddiq dahulu ‘accountability’ kewangan Armada agak lemah jika dibandingkan hari ini.

“Semestinya, idea yang dibawa Wan Ahmad Fayhsal pada hari ini adalah mengetepikan perseteruan politik dan menggembleng semangat penyatuan anak muda walaupun pentadbiran terdahulu terpalit dengan pelbagai skandal dan juga isu.

“Dakwaan bahawa kes mahkamah yang sedang dihadapi telah ‘direka’ amatlah tidak berasas kerana laporan polis yang membawa kepada kes ini dibuat oleh Syed Saddiq sendiri,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Baru-baru ini, Syed Saddiq mendakwa BERSATU menghantar Ketua Armadanya iaitu Wan Ahmad Fayhsal, sebelum dia didakwa di mahkamah berkaitan penyelewengan dana milik parti itu.

Semalam, Syed Saddiq mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM100,000, tiga tahun lepas.

Muhammad Afiq berkata Armada Melaka yakin mahkamah adalah forum terbaik untuk membuktikan kebenaran jika bekas Menteri Belia dan Sukan itu berasa dirinya tidak bersalah.