KUALA LUMPUR, 8 Ogos — Sebak, terharu dan bangga.

Itu perasaan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ketika menonton acara final pelumba trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam acara keirin lelaki di Izu Veldorome di Shizuoka, pada temasya Olimpik Tokyo hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal mengucapkan tahniah kepada ‘The Pocket Rocketman’ itu di atas kejayaan merangkul pingat perak dalam saingan peringkat akhir yang penuh dramatik.

“Sungguh, negara amat berbangga dengan prestasi Datuk!

“Terima kasih our POCKET ROCKETMAN!,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam saingan peringkat akhir yang penuh dramatik, penyandang juara Jason Kenny dari Britain mempamerkan kayuhan luar biasa sejak di peringkat awal lagi untuk terus menguasai perlumbaan sehingga ke akhir bagi mengekalkan kejuaraannya.

Mohd Azizulhasni, 33, melintasi garis penamat untuk pingat perak, manakala pelumba Belanda Harrie Lavreysen yang merangkul pingat emas dalam acara pecut lelaki, meraih pingat gangsa.