KUALA LUMPUR, 9 Ogos — Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin sasaran 100 peratus penduduk dewasa atau 80 peratus daripada keseluruhan penduduk di negara ini mendapat dos lengkap suntikan vaksin COVID-19 menjelang akhir Oktober akan dapat dicapai.

Perdana Menteri berkata sasaran itu berdasarkan prestasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan(PICK) yang memberangsangkan setakat ini.

“Saya telah diberi taklimat oleh Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) pagi tadi. Alhamdulillah, proses vaksinasi berjalan mengikut jadual setakat ini,” katanya dalam catatan di Facebook beliau hari ini.

Sejak dilancarkan pada 24 Feb lepas sehingga semalam, seramai 15,772,101 orang telah menerima suntikan dos pertama vaksin, manakala 8,770,336 lagi lengkap dos kedua menerusi program PICK.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata menjelang 31 Ogos ini pula, dijangkakan lebih 60 peratus penduduk dewasa atau lebih 40 peratus keseluruhan penduduk di negara ini akan menerima dos lengkap suntikan vaksin.

“Ini pastinya merupakan khabar gembira buat kita semua menjelang sambutan Hari Kebangsaan tahun ini,” katanya.

Katanya menurut data terkini yang tersedia baik dalam atau luar negara, jumlah kes dalam kategori empat dan lima serta kadar kematian akan menurun dengan mendadak apabila kadar vaksinasi telah meningkat.

“Insya-Allah, kita doakan agar negara kita dapat keluar daripada pandemik ini dengan kadar segera,” katanya.