KUALA LUMPUR, 10 Ogos — Sejumlah 500 bakul makanan sudah diagihkan di Parlimen Segambut sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 dikuatkuasakan di Wilayah Persekutuan.

Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Mahathir Md Rais berkata sebahagian besar penerima bakul makanan di parlimen itu adalah terdiri daripada keluarga yang kehilangan punca pendapatan akibat penutupan sektor ekonomi.

Menurutnya, penutupan beberapa sektor perniagaan antara punca banyak syarikat tertentu khususnya di bidang perkhidmatan terpaksa gulung tikar.

“Keadaan ini menyebabkan tindakan pengurangan pekerja terpaksa dilakukan dan kesannya boleh dilihat apabila sebahagian mereka terpaksa mengharap sumbangan keperluan barangan harian untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, sebanyak 200 keluarga kurang berkemampuan di Kampung Segambut Luar,Taman Sri Sinar dan Flat SPPK Segambut serta Kampung Sungai Penchala menerima sumbangan Bakul Prihatin pada Selasa.

Mahathir berkata, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberi komitmen untuk terus melaksanakan program bantuan Bakul Prihatin sehingga keadaan wabak di negara pulih dan bertambah baik.