PELABUHAN KLANG, 10 Ogos — Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memberikan bantuan kepada lima beradik di Pangsapuri Seri Perantau di sini, yang kehilangan kedua ibu bapa mereka akibat COVID-19 minggu lepas, bermula bulan depan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata bantuan bulanan RM500 akan disalurkan kepada tiga adik Intan Iewanina Mohd Suhaimi, 21, yang berumur 18 tahun ke bawah bermula September.

Katanya selain itu, beliau akan memberi bantuan peribadi bulanan RM250 kepada Intan Iewanina, anak sulung daripada lima beradik itu untuk meneruskan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.

“Intan Iewanina baru berusia 21 tahun dan sedang belajar. Selalu ibunya (Allahyarham Ramlah Muktar) bagi belanja RM250 (sebulan) jadi saya ambik peluang untuk sama-sama bantu atas kapasiti peribadi agar (bantuan) itu dapat diteruskan sehingga beliau habis belajar,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga itu di rumah mereka hari ini.

Semalam, media melaporkan Intan Iewanina terpaksa menggalas tugas sebagai ketua keluarga menjaga empat adik yang masih belajar selepas Ramlah, 43, meninggal dunia pada 31 Julai lepas dan disusuli ayah mereka Mohd Suhaimi Zakaria, 55, enam hari selepas itu akibat COVID-19.

Intan Iewanina dan empat adiknya iaitu Batrisyia Izzah, 19, Uzair Wazini, 16, Ahmadinejad, 12, dan Nisa Ailani, lima, kini menetap di rumah peninggalan ibu bapa mereka di Pangsapuri Seri Perantau.

Dalam pada itu, Rina memaklumkan rumah peninggalan ibu bapa Intan Iewanina itu kini sudah habis dibayar namun belum dijalankan proses pertukaran nama dan kementeriannya bersama pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan menyelesaikan masalah yang ada sekiranya wujud isu berbangkit.

Dalam perkembangan lain, Rina turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pelawak Shahmira Muhammad atau lebih dikenali sebagai Shuib Sepahtu atas kehilangan isterinya yang juga penyanyi Siti Sarah Raissuddin akibat jangkitan COVID-19 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cheras pada 5.13 pagi semalam.

“Insya-Allah kita juga akan beri sokongan bukan sekadar kewangan tetapi bantuan dari segi emosi… perkhidmatan kaunselor bukan sahaja untuk dewasa, tetapi untuk kanak-kanak kerana mungkin mereka terkejut kehilangan ibu dan kita perlu beri semangat serta dorongan untuk terus melangkah ke arah kehidupan lebih baik,” katanya.