KUALA LUMPUR, 11 Ogos — Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) yakin pembangunan di kawasan luar bandar dalam wilayah itu dapat dimantapkan dengan ilmu dan kepakaran dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Pengerusi KETENGAH Senator Datuk Razali Idris berkata kerjasama itu juga mampu memantapkan lagi kolaborasi dan agensi kerajaan dengan institusi pendidikan dalam membangunkan masyarakat luar bandar.

“Dengan adanya kolaborasi seperti ini, kami dapat menjalankan pelbagai aktiviti melibatkan masyarakat dengan perkongsian kepakaran yang terdapat di UiTM dan KETENGAH.

“Selain itu, pihak UiTM juga dapat berkongsi hasil kajian melibatkan kawasan wilayah KETENGAH untuk dijadikan panduan bagi perancangan pembangunan akan datang.

“Dengan adanya kerjasama strategik yang seperti ini, adalah menjadi harapan kami agar kawasan pembangunan wilayah KETENGAH dapat dimajukan setaraf dengan kawasan perbandaran yang lain,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, Razali menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara UiTM dan KETENGAH secara dalam talian hari ini.

Memorandum Persafahaman itu ditandatangani Pengurus Besar KETENGAH Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa dan Reaktor UiTM Cawangan Terengganu Prof Is. Dr Mazidah Puteh.

Mengulas lanjut, Razali berkata wilayah itu mempunyai banyak sumber alam semulajadi yang masih tidak terusik di mana ia menjadi fokus kepada sektor pelancongan dan kebudayaan.

“Ini merupakan peluang yang amat besar dalam pembangunan salah satu sub-sektor pelancongan iaitu pelancongan eko dan alam semulajadi yang kian menjadi kegemaran generasi masa kini.

“InsyaAllah dengan kerjasama bersama UiTM ini dapat menaikkan tempat–tempat pelancongan yang terdapat di wilayah KETENGAH,” katanya.

Menurutnya, MoU ini juga merupakan satu simbol kesepakatan di dalam melahirkan warga yang berilmu dan berkemahiran dalam bidang pelancongan.

“Kesepakatan dengan UiTM perlu diusahakan juga dalam Program Pembangunan Belia dan Komuniti, supaya dapat melahirkan masyarakat yang mempunyai pengetahuan dan berkemahiran tinggi.

“InsyaAllah kita sama-sama menjalankan penyelidikan bersepadu dalam menyediakan modal insan yang jitu terhadap pembangunan belia dan komuniti.

“Kita semua sedia maklum bahawa sektor pelancongan mendapat kesan yang paling ketara dalam pandemik kali ini.

“Sama–samalah kita berdoa agar wabak pandemik ini segera diangkat oleh Allah SWT agar sektor pelancongan dapat dibuka secara keseluruhan dengan kadar segera,” katanya.