KUALA LUMPUR, 11 Ogos — Rakyat Labuan dinasihat mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi sebagai langkah untuk membebaskan wilayah itu daripada pandemik COVID-19.

Ketua Bahagian BERSATU Labuan Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata ini kerana wilayah itu sudah berada di fasa ketiga dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Jelasnya, sesiapa yang telah lengkap vaksinasi tidak menjadikan seseorang itu kebal dan tidak dijangkiti COVID-19.

“Saya seru rakyat Labuan perlu utamakan keselamatan diri.

“Dalam keadaan sekarang, walaupun Labuan sudah berada di fasa ketiga dalam PPN, kita harus ingat bukan semua tempat yang mahu dilawati berada di tahap sama.

“Selagi negara masih belum menang, kita masih belum capai imuniti kelompok. Selagi kes masih tinggi, saya berharap semua warga Malaysia tidak kira di Labuan atau di mana sahaja, agar menjaga keselamatan dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan demi kebaikan bersama,” katanya ketika dihubungi Wacana.my pada Rabu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan beberapa kelonggaran diberikan kepada penerima lengkap dua dos vaksin COVID-19 di seluruh negara dan terpakai ke atas semua fasa di dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa pada Selasa.

Antaranya ialah, pasangan jarak jauh lengkap dua dos dibenarkan rentas daerah dan negeri bertemu pasangan masing-masing dan ibu bapa lengkap dua dos dibenar rentas daerah atau negeri berjumpa anak di bawah umur 18 tahun.

Bagaimanapun, kelonggaran itu hanya terpakai buat penerima dos lengkap dan memenuhi kriteria ditetapkan iaitu melepasi hari ke-14 daripada tarikh suntikan dos kedua untuk penerima vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac.

Bagi penerima vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan iaitu vaksin Johnson & Johnson dan CanSino perlu melepasi hari ke-28 daripada tarikh suntikan.

Mengulas lanjut, Suhaili berkata penguatkuasaan undang-undang harus telus dan tegas bagi menangani kebarangkalian berlaku cubaan menipu atau memalsukan sijil vaksinasi atau pelanggaran SOP yang ditetapkan.

“Jika ada berlaku pelanggaran SOP, atau penipuan seperti memalsukan sijil vaksinasi, tindakan paling tegas perlu diambil terhadap pesalah tanpa pilih kasih,” katanya.