HULU TERENGGANU, 12 Ogos — Pengusaha pelancongan Tasik Kenyir sedia memulakan operasi bermula 1 September apabila kesemua mereka telah melepasi tempoh 14 hari selepas menerima dos kedua vaksin hari ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Razali Idris berkata, pembukaan lokasi tumpuan pelancong itu memberi peluang kepada penggiat ekonomi pelancongan untuk kembali ‘bernafas’.

“Kita buat keputusan ini setelah 300 penggiat pelancongan di Tasik Kenyir telah lengkap tempoh matang 14 hari dari tarikh suntikan kedua vaksin Covid-19 pada hari ini (Khamis).

“Kita juga akan menjalankan proses sanitasi kepada semua rumah bot sebelum beroperasi pada 1 September dan sanitasi ini akan berterusan setiap kali ia digunakan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Outreach Vaksinasi Pelancongan Tasik Kenyir di Pengkalan Gawi, di sini pada Khamis.

Seramai 300 individu yang terbabit dalam industri pelancongan di Tasik Kenyir termasuk 200 penduduk sekitar menerima suntikan dos kedua vaksin pada Khamis.

Dalam pada itu, Razali berkata, setakat ini hanya pengunjung yang telah matang tempoh 14 hari dari tarikh suntikan dos kedua vaksin dibenarkan mengunjungi lokasi itu.

Katanya, pembukaan sektor pelancongan itu menekankan amalan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti penjarakan fizikal dan penjagaan kebersihan optimum dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Fasa Dua di Terengganu.

Dalam pada itu, Razali berkata, pihaknya juga dalam perancangan untuk memberikan diskaun untuk setiap tempahan rumah bot sebagai salah satu tarikan kepada pelancong.

“Ia merupakan salah satu inisiatif kepada pengusaha itu sendiri selain membantu mengurangkan kos melancong dalam tempoh pandemik ini,” ujarnya.

Ahad lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kelonggaran bagi sektor sosial termasuk pelancongan bagi negeri-negeri yang berada dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.