PUTRAJAYA, 12 Ogos — Rakan-rakan strategik Jabatan Perikanan (DOF) tampil menyertai Program Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin dengan menyumbang bakul makanan keseluruhan bernilai RM34,500.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata sumbangan bakul makanan berkenaan yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat terbabit akan diserahkan kepada kumpulan sasar sektor perikanan.

Antara 11 rakan strategik yang memberikan sumbangan adalah Syarikat Kimi Ocean Food Industries M Sdn Bhd (Kuala Lumpur), Jamilah Hasil Laut (Perak), Blue Archipelago Berhad (Terengganu) dan Pengusaha Isi Ikan Kota Kinabalu (Sabah).

“Kami harap lebih banyak syarikat swasta tampil untuk sama-sama menyumbang bagi menjayakan Program MAFI Prihatin yang telah diusahakan kementerian sejak awal tahun ini,” katanya pada sidang media selepas sesi penyerahan bakul makanan di Wisma Tani, di sini hari ini.

Lokasi pertama penyerahan 630 bakul makanan MAFI Prihatin DOF adalah di Pulau Tioman, Pahang, diikuti Port Dickson, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan beberapa lokasi lain.

Menurut Ronald, lebih 60,000 bakul makanan telah diagih kepada golongan sasar menerusi program berkenaan dengan nilai bantuan mencecah RM5.4 juta dan usaha diteruskan dengan penglibatan lebih ramai rakan strategik.