KUALA LUMPUR, 13 Ogos — Program Bakul Prihatin tidak tertumpu kepada pemberian sumbangan keperluan makanan sahaja bahkan menjadi medium untuk mendekatkan diri dan menyantuni rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Ketua Biro Srikandi Muda Malaysia, Datin Ema Syuhaili Mohamad Sukor berkata, program bantuan yang diperkenalkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu merupakan satu platform untuk menyantuni rakyat dan memberikan sokongan moral kepada golongan yang kehilangan keluarga akibat pandemik.

“Kita tahu ramai yang kehilangan anggota keluarga akibat COVID-19, selain bantuan keperluan seperti makanan ini mereka juga turut memerlukan seseorang untuk meluahkan perasaan.

“Jadi kita jadikan program bantuan ini sebagai satu platform untuk kita berikan sokongan moral dan kaunseling kepada mereka yang terkesan ini selain dapat membantu memberikan sumbangan untuk keperluan harian mereka,” katanya ketika dihubungi Wacana.my.

Mengulas lanjut, Ema Syuhaili berkata pihaknya telah mengedarkan sejumlah 600 bakul makanan di kawasan Parlimen Kepong sepanjang bulan Ogos dan pihaknya kini akan menumpukan kepada golongan ibu tunggal serta penghantar makanan.

“Kita sasarkan dalam sehari sebanyak 250 bakul makanan dapat diagihkan dan fokus kita selepas ini adalah untuk membantu ibu-ibu tunggal, warga emas dan penghantar makanan.

“Saya berharap dengan bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan yang terjejas ini dan kami akan terus komited untuk membantu rakyat dan memberikan sokongan moral untuk kita sama-sama berjuang melawan COVID-19,” katanya.