ARAU, 13 Ogos — Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan bekalan makanan untuk keperluan rakyat di negara ini mencukupi walaupun negara masih berdepan dengan penularan pandemik COVID-19.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata Malaysia tidak menghadapi masalah kekurangan makanan kerana pengusaha dan pengeluar di negara ini masih berupaya membekalkan keperluan itu secara berterusan.

“Tiada masalah dari segi bekalan makanan kerana pihak pengusaha masih mampu menawarkan keperluan yang secukupnya untuk rakyat,” katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan kerja ke Pusat Kajian dan Penghasilan Benih serta Pusat Pemprosesan Jagung Bijirin Green World Genetics (GWG) Wilayah Utara dekat sini hari ini.

Beliau berkata selain agensi berkaitan MAFI, pihak swasta juga terus memberikan sokongan dan kerjasama bagi memastikan industri makanan negara berjalan lancar.

“Kita tahu bahawa negara mampu mengeluarkan hasil ke tahap sara diri yang mencukupi untuk mengurangkan kebergantungan import bahan makanan dari luar negara,” katanya.