KOTA KINABALU, 13 Ogos — Sabah akan terus menguatkuasakan sekatan perjalanan rentas daerah susulan terdapat peningkatan membimbangkan dalam jumlah kes baharu COVID-19 yang dilaporkan setiap hari di negeri itu sejak beberapa minggu lepas.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata meskipun terdapat usaha oleh pihak berkuasa seperti mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lokaliti yang terjejas, jumlah itu terus meningkat.

“Oleh itu, sekatan jalan raya akan terus dipergiat kerana perjalanan rentas daerah masih tidak dibenarkan. Rakyat perlu mematuhi SOP ini dengan ketat,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Ahad lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelonggaran beberapa SOP di negeri yang berada dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk membenarkan perjalanan rentas daerah bagi mereka yang lengkap divaksinasi.

SOP Fasa Dua PPN Sabah telah dikemas kini pada 12 Ogos namun menyatakan bahawa sekatan perjalanan rentas daerah masih berkuat kuasa kecuali bagi kes-kes kecemasan, kerja (disokong oleh surat majikan), janji temu vaksinasi COVID-19 dan mereka yang berada dalam sektor perkhidmatan penting.

SOP itu juga menyatakan bahawa kebenaran polis diperlukan bagi pergerakan rentas daerah bagi kes-kes kecemasan, pasangan suami isteri di daerah berbeza dan ibu bapa yang ingin melihat anak mereka yang berumur 18 tahun ke bawah.

Dalam hal ini, Hajiji berkata antara langkah bagi memerangi COVID-19 ialah dengan mendapatkan sebanyak mungkin vaksin selain memastikan SOP sentiasa dipatuhi.

“Kami menggesa semua pihak agar tidak mengadakan perhimpunan yang akan membabitkan ramai orang buat masa ini. Kami mahu orang ramai menjadi lebih berdisiplin. Hanya dengan cara ini kita boleh melandaikan keluk pandemik,” katanya.

Beliau berkata Sabah akan memperoleh sejumlah 200,000 dos vaksin CanSino minggu depan susulan jaminan yang diberikan oleh menteri yang bertanggungjawab bagi Program Imunisasi COVID-10 Kebangsaan Khairy Jamaluddin bahawa negeri itu akan diberi keutamaan dalam pengagihan bekalan CanSino.

Ketibaan vaksin dos tunggal itu dijangka membantu meningkatkan jumlah vaksinasi ke arah mencapai imuniti kelompok.

Setakat ini, lebih 1.22 juta atau 44.5 peratus penduduk Sabah yang berumur 18 tahun ke atas telah menerima suntikan dos pertama vaksin.

Terdahulu, Hajiji menyampaikan anugerah kepada 13 jabatan dan agensi kerajaan negeri serta persekutuan yang bertugas di barisan hadapan dalam menangani pandemik COVID-19 di Sabah pada Majlis Penyampaian Anugerah Khas Maal Hijrah 1443H/2021M.

Penerima anugerah itu ialah kakitangan Jabatan Ketua Menteri, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah.

Turut menerima penghargaan Majlis Keselamatan Negara Sabah, Jabatan Kemajuan Islam Negeri Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah, Jabatan Sukarelawan Malaysia Sabah dan Persatuan Wartawan Sabah.

Masing-Masing menerima sijil penghargaan dan wang tunai RM10,000.

“Kerajaan negeri menzahirkan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang telah menjalankan tanggungjawab membantu kerajaan melaksanakan apa juga tugasan demi kebaikan serta kepentingan rakyat Sabah,” katanya ketika berucap pada majlis yang berlangsung di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah.