KUALA LUMPUR, 13 Ogos — Satu siasatan dalam oleh pihak berwajib perlu diadakan bagi mengenal pasti sama ada wujud kebenaran berlaku aktiviti ‘membocorkan’ warkah sulit Istana Negara oleh dalang tertentu yang bertujuan mengeruhkan hubungan antara insitutsi diraja dan cabang eksekutif.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, siasatan dalaman ini penting memandangkan rakyat sudah acapkali mendengar isu dakwaan ‘kebocoran’ warkah sulit Yang di-Pertuan Agong kepada pihak kerajaan, menjadi tular di media sosial sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, sekiranya dakwaan ‘kebocoran’ warkah sulit Istana Negara sahih, maka pihaknya melihat perkara itu dari dua sudut iaitu siapakah dalang yang membocorkannya dan persoalan paling penting, adakah ‘kebocoran’ itu dalam pengetahuan Yang di-Pertuan Agong sendiri.

“Dari sudut siapa yang membocorkan kandungan warkah sulit Istana Negara pula, kita perlu melihat sama ada aktiviti pembocoran berkenaan sudah berlaku di peringkat Istana Negara atau setelah tiba di tangan penerima warkah.

“Setelah dikenal pasti aktiviti pembocoran kandungan warkah berkenaan, rakyat juga mahu mengetahui adakah perbuatan itu berada dalam pengetahuan Yang di-Pertuan Agong?

“Kandungan warkah sulit Istana Negara boleh menimbulkan kekeliruan kepada rakyat di luar sana sekiranya tidak diperjelaskan dengan betul dan saya memohon pihak berwajib menjalankan siasatan dalaman segera bagi mengelakkan perkara sebegini terus berulang,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu, warkah Speaker Parlimen, Datuk Azhar Azizan Harun yang didakwa diutuskan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah hilang majoriti, telah tular dalam media sosial sejak dua hari lalu.

Azhar kemudiannya menafikan laporan sebuah portal berita tempatan yang memetik beliau memaklumkan bahawa kerajaan pimpinan Muhyiddin sudah hilang sokongan majoriti.

Isu dakwaan kebocoran warkah sulit Istana Negara atau warkah pihak kerajaan kepada Istana Negara sudah kerap diperkatakan sejak beberapa minggu ini, bermula dengan warkah peribadi yang didakwa diutuskan Yang di-Pertuan Agong kepada Perdana Menteri bagi menjelaskan isu pembatalan Ordinan Darurat.

Dr Muhammad Faiz berkata, sekiranya sahih, dalang yang terlibat membocorkan isi kandungan warkah berkenaan sepatutnya menyedari tindakan itu bukan sekadar memberi kesan kepada survival kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini, tetapi perkara lebih penting mampu menjejaskan imej negara pada pandangan pelabur asing.

“Apabila kandungan surat tular itu mendedahkan seolah-olah wujud ketidakharmonian hubungan antara dua institusi penting di negara ini iaitu institusi diraja dan cabang eksekutif, para pelabur asing akan teragak-agak untuk melabur.

“Senario kebocoran warkah Istana Negara, sekiranya benar berlaku, tidak akan membantu pertumbuhan ekonomi negara pada saat negara sedang berdepan krisis COVID-19 yang membawa implikasi terburuk dalam sejarah,” katanya.