KUALA LUMPUR, 13 Ogos — Jemputan rasmi akan dihantar kepada semua pimpinan parti politik bagi membincangkan mengenai cadangan kerjasama bipartisan pada minggu depan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, jika cadangan kerjasama bipartisan itu dipersetujui, beliau akan memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat untuk membentangkan usul undi percaya dalam tempoh terdekat.

“Saya memberi jaminan bahawa saya akan mengambil tindakan yang terhormat dan berperlembagaan dalam menyelesaikan kemelut politik yang berlaku pada masa ini.

“Keutamaan saya hanyalah untuk memastikan kerajaanterus berfungsi dengan baik untuk menangani pandemik dan memulihkan negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan khas secara langsung hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan akan memperkukuhkan reformasi Parlimen dengan memastikan jumlah ahli Dewan Rakyat mewakili kerajaan dan pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen lebih seimbang.

Jelasnya, jumlah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen juga boleh ditambah untuk memastikan semua ahli Parlimen dapat memainkan peranan semak dan imbang yang lebih berkesan menerusi pembabitan mereka dalam jawatankuasa itu.

“Sebagai pengiktirafan kepada peranan semak dan imbang di Parlimen, 50 peratus Jawatankuasa Pilihan Khas akan dipengerusikan oleh ahli Parlimen kerajaan dan 50 peratus lagi oleh ahli Parlimen pembangkang.

“Sejajar dengan jangkaan bebanan tugas yang akan bertambah dalam melaksanakan fungsi semak dan imbang yang lebih efektif, kerajaan akan menyediakan kakitangan sokongan dan saraan yang berpatutan kepada semua pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen,” katanya.