KUALA LUMPUR, 14 Ogos — Tindakan politik dengan niat menjatuhkan kerajaan ketika rakyat sedang bergelut dengan kesempitan hidup berikutan ketidaktentuan ekonomi global dan pandemik COVID-19 perlu diredakan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Dr Muhammad Faiz Na’aman, berkata persaingan politik lebih baik diselesaikan melalui Pilihan Raya Umum (PRU) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat akujanji untuk mengadakan proses itu selewat-lewatnya pada penghujung Julai tahun depan.

Katanya, tawaran-tawaran yang dibuat Perdana Menteri juga cukup ringkas dan mudah difahami sewaktu semua rakyat menghadapi musuh yang sama iaitu COVID-19.

“Apa salahnya, jika kita bersatu terlebih dahulu, bantu mempersenjatai rakyat kita dengan vaksin bagi menentang wabak itu? Apa salahnya redakan dulu tuntutan gila kuasa berpolitik mahu menjatuhkan kerajaan di waktu rakyat sedang ramai susah dan ekonomi tidak stabil seluruh dunia.

“Tidak lari lah PRU hendak dikejar. Perdana Menteri telah bertekad mahu PRU selewat-lewatnya Julai tahun depan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Semalam, Perdana Menteri membentangkan cadangan rangka persefahaman rentas parti, mengandungi tujuh perkara yang akan dilaksanakan kerajaan jika usul undi percaya terhadap beliau diluluskan di Dewan Rakyat.

Antara tujuh perkara itu ialah peruntukan tahunan sama rata untuk semua ahli Parlimen, pelaksanaan undi 18 tahun, jawatan Perdana Menteri dihadkan kepada dua penggal dan pembentangan undang-undang anti lompat parti.

Presiden Penaja Parti Ikatan Demokratik (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam reaksi segera mendakwa pengumuman itu sebagai satu tindakan terdesak bagi mengekalkan jawatan sehingga memerlukan pembangkang untuk berbincang.

Sementara itu, Dr Muhammad Faiz membidas tindakan Syed Saddiq kerana memutar belit fakta berkenaan tawaran yang dibuat oleh Perdana Menteri dan meminta Ahli Parlimen Muar itu menyatakan kerajaan mana di negara ini yang pernah menawarkan peruntukkan tahunan yang sama rata kepada ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Masalahnya kata beliau, pembangkang mempunyai sikap mengada-ngada dengan menuduh kerajaan zalim apabila tidak menolong mereka namun jika dibantu, dituduh berhelah pula.

“Tawaran Perdana Menteri semalam bukan demi kerajaan atau pembangkang, tetapi demi negara dan rakyat yang belum bersedia untuk hadapi PRU dalam waktu terdekat, andai kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kenapa Syed Saddiq tidak bersuara meminta undang-undang lompat parti menjadi salah satu janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) ketika berada dalam barisan kepimpinan pemuda pakatan itu.

Katanya, apabila PN menawarkan cadangan itu Syed Saddiq tidak perlu berasa pelik kerana perbuatan itu mempunyai persamaan dengan DAP yang sering melaung-laungkan anti rasuah tetapi pemimpinnya sendiri sedang dibicarakan dalam kes rasuah.

“Lompat parti sebelum ini tidak pernah menjadi isu atau kesalahan dalam undang-undang negara namun apabila ia memberi kemudaratan kepada pihak yang berkepentingan, maka mulalah ada jeritan mahu ia diharamkan,” katanya.

Beliau turut meminta bekas Menteri Belia dan Sukan itu menjengah semula fakta berapa banyak cadangan dan tuntutan pembangkang yang ditunaikan kerajaan selama ini, termasuk yang diterima daripada sesi konsultasi Belanjawan 2021 hujung tahun lepas.

Beliau turut meminta Syed Saddiq menyatakan siapa calon Perdana Menteri yang mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat jika mahu lihat Muhyiddin tumbang sekarang.

“Adakah Tun Dr. Mahathir Mohamad, adakah Datuk Seri Anwar Ibrahim, adakah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, adakah Tengku Razaleigh Hamzah atau adakah Datuk Seri Najib Tun Razak kembali?

“Itu yang majoriti rakyat mahu tahu. Apa jaminan pula jika Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri Interim, maka tiada pertikaian di pihak pembangkang,” katanya.