KOTA BHARU, 16 Ogos — Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah menyebut akan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri sebaliknya mahu memperkukuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, kerajaan di bawah kepimpinan Muhyiddin sudah melakukan yang terbaik untuk rakyat dan inginkan negara segera pulih daripada Covid-19.

Katanya yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kota Bharu, dalam tempoh 17 bulan ini, Perdana Menteri mengumumkan bantuan berjumlah RM530 bilion bagi pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi semasa pandemik.

“Bantuan kepada 32 juta penduduk negara ini satu angka yang sangat besar membuktikan beliau sentiasa mengutamakan dan membantu rakyat.

“Misalnya di Indonesia 275 juta rakyat hanya RM20 bilion dibelanjakan kerajaan negara itu untuk membantu rakyat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Penyampaian Bakul Makanan dan Menyantuni Penduduk Berek 12, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohamed Farid berkata, berbanding semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang hanya memberikan bantuan RM30 Program e-Tunai Rakyat semasa pemerintahan mereka pada Januari tahun lalu.

“Rakyat dianaktirikan kerana mereka (ahli politik) lebih pentingkan diri mereka sendiri, agenda peribadi dan berebut kuasa.

“Kami tidak faham kenapa mereka begitu kuat berpolitik supaya Perdana Menteri ‘gugur’ sedangkan negara masih berdepan Covid-19 dan pada masa kerajaan berusaha membantu rakyat,” katanya.