PUTRAJAYA, 17 Ogos — Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata walaupun bukan lagi menjadi perdana menteri, slogan ‘Kerajaan Prihatin’ akan terus berada dalam jiwa beliau serta rakan-rakan yang sehaluan dalam kerajaan Perikatan Nasional yang memerintah sebelum ini.

“Hakikatnya, saya bukan lagi perdana menteri, tapi saya akan turun ke bawah tengok…supaya nasib mereka (rakyat) terbela sebab saya faham semasa menjadi perdana menteri ada data menunjukkan rakyat miskin bertambah dan ini amat mencabar,” katanya kepada editor-editor kanan setelah mengumumkan peletakan jawatan sebagai perdana menteri semalam.

Beliau berkata jika dinilai daripada segi prestasi Perikatan Nasional, ia tidak gagal tetapi kerajaan beliau telah melakanakan tugas dangan baik dan ramai mengakuinya berdasarkan kepada usaha yang telah dilakukannya dalam memerangi pandemik COVID-19.

“Saya rasa kerajaan saya telah membuat yang terbaik…orang kata kita telah melakukannya, menguruskan COVID-19 bukannya mudah. Saya fikir kita telah menyelamatkan jutaan nyawa, beberapa ribu orang telah meninggal dunia, selalu orang melihat perkara ini tetapi sekarang rakyat telah menyedari bahawa kita telah menyelamatkan berjuta-juta nyawa, kami telah melakukan sehabis baik,” katanya.

Muhyiddin berkata beliau merasa lega kerana telah melakukan apa yang sepatutnya dilakukan dalam melaksanakan usaha membantu rakyat berhadapan dengan pandemik.

Muhyiddin berkata beliau sedar ramai yang meminta ‘Abah’ (gelaran diberikan rakyat kepadanya) supaya kekal dan jangan berhenti (meletakkan jawatan sebagai perdana menteri) namun ia tidak dapat dilakukan.

“Ramai minta saya kekal, Abah jangan berhenti kami sayang dan sebagainya, sangat menyentuh hati, saya harap dapat berbuat demikian tetapi di bawah demokrasi berparlimen lantikan seperti jawatan perdana menteri bersandarkan peruntukan dalam Perlembagaan, saya angkat sumpah…saya akan junjung Perlembagaan negara yang mendukung raja berperlembagaan dan sebagainya,” katanya.

Sebagai rakyat yang diberikan amanah, Muhyiddin berkata beliau melakukan semua ini mengikut yang terkandung dalam Perlembagaan iaitu apabila tidak lagi mendapat sokongan majoriti (ahli Dewan Rakyat) maka wajib bagi beliau meletakkan jawatan.

Beliau menjelaskan tindakan itu diambil disebabkan penarikan sokongan Ahli Parlimen terutamanya daripada parti UMNO terhadap beliau.

“Siapakah mereka itu…bukan saya nak menidakkan mereka sebagai Ahli Parlimen, tapi soal politik jika mereka fikir nasib rakyat ketika ini ramai terkesan dan jadi miskin, bukan masa berpolitik tapi tumpuan untuk selamatkan nyawa. Bantu rakyat, jangan berpolitik kita dah muak. Kalaulah mereka mengambil kira perkara itu mereka tidak akan bertindak seperti ini,” katanya.