KUALA LUMPUR, 19 Ogos — Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat konsisten dengan pendiriannya mahu ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti adalah terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

Ketua Bahagian BERSATU Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata pendirian itu adalah untuk memastikan kepimpinan kerajaan baharu yang akan ditubuhkan kelak, bersih daripada sebarang permasalahan terutama yang melibatkan rasuah dan mahkamah.

“Jika kita lihat, masalah inilah (kes rasuah dan mahkamah) yang menjadi punca jatuhnya kerajaan Barisan Nasional (BN) pada suatu ketika dahulu kerana rakyat ingin lihat pemimpin yang bebas dari sebarang masalah rasuah dan mahkamah.

“Jadi Muhyiddin kekal konsisten dengan pendiriannya yang tidak mahukan pemimpin dari kluster mahkamah menerajui negara untuk memastikan kestabilan kerajaan baharu nanti,” katanya ketika dihubungi Wacana.my.

Dalam satu kenyataan, Muhyiddin mengesahkan kesemua 50 ahli Parlimen dari parti gabungan itu sebulat suara mencalonkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri bagi kerajaan PN yang baharu.

Muhyiddin juga menegaskan bahawa sokongan PN kepada Ismail Sabri yang juga merupakan Naib Presiden UMNO itu, adalah bersyarat, selaras dengan prinsip PN untuk mempertahankan kerajaan yang berintegriti.

Mengulas lanjut, Suhaili berharap rakyat dapat terus memberikan sokongan kepada kepimpinan kerajaan baharu untuk mereka menjalankan tugas melawan pandemik dan menambahbaik ekonomi negara.

“Saya berharap, dengan pendirian yang ditunjukkan oleh Muhyiddin, rakyat dapat terus kekal mendukung kerajaan baharu,” katanya.