KOTA KINABALU, 19 Ogos — Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor mengeluarkan amaran tegas bahawa tindakan akan diambil terhadap ketua jabatan dan agensi kerajaan yang didapati menangguhkan pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini.

Beliau berkata demikian selepas mendapat tahu pelbagai projek yang diluluskan kerajaan Persekutuan masih di peringkat prapelaksanaan dengan baki lebih empat bulan lagi sebelum berakhirnya tahun ini.

“Sekarang bulan Ogos. Bagaimana hendak menyelesaikan projek-projek ini? Kerajaan Persekutuan telah meluluskan permohonan kita dan memberikan peruntukan, namun projek-projek itu tidak boleh dilaksanakan.

“Saya tidak mahu perkara ini berlaku semasa pentadbiran saya… saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPng) di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini hari ini.

Hajiji menolak alasan kerja-kerja projek itu tidak dapat dimulakan kerana pandemik COVID-19 dan sebahagian pula bekerja dari rumah, sambil menambah bahawa semua yang terlibat mesti menyesuaikan kerja mereka dengan norma baharu.

Ketua menteri berkata satu tempoh masa perlu ditetapkan bagi pelaksanaan semua projek pembangunan yang dibiayai Persekutuan di negeri ini.

Beliau tidak ragu-ragu bahawa berikutan pandemik, pelaksanaan projek tersebut menjadi lambat tahun ini, tetapi berharap rancangan kerajaan Persekutuan untuk mengkaji semula projek-projek pembangunan yang telah dipersetujui, tetapi belum dapat dilaksanakan, tidak akan menjejaskan Sabah.

Hajiji berkata perkara itu tidak sepatutnya dibiarkan berlarutan, manakala masalah lain masih tidak dapat diselesaikan seperti isu perkhidmatan, jalan raya dan infrastruktur, urusan tanah, sekolah tanpa bekalan air dan elektrik, dan menggesa mereka yang terlibat untuk menangani perkara itu sebagai satu pasukan dan secara holistik demi kepentingan rakyat.

Ini termasuk pembasmian kemiskinan yang kekal menjadi tumpuan kerajaan negeri kerana peratusan penduduk miskin dan miskin tegar masih tinggi, katanya.

“Sekarang adalah masanya bagi semua untuk tingkatkan kerjasama dan mengkaji semula dan memperbaiki peraturan lapuk dan yang juga tidak relevan mengikut perubahan masa,” katanya.

Hajiji juga menyeru agensi kerajaan untuk memanfaatkan kemajuan teknologi dalam meningkatkan perkhidmatan penyampaian kerajaan dan memudahkan sektor swasta sebagai penggerak ekonomi utama negara.

Mengenai prestasi Sabah di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), beliau berkata setakat 8 Ogos tahun ini, sebanyak RM1.459 bilion atau 32.31 peratus daripada RM4.517 bilion telah dibelanjakan di bawah Rolling Plan Pertama RMK12.