KUALA LUMPUR, 20 Ogos — Kedudukan BERSATU akan terus kekal dan relevan dalam Perikatan Nasional, tanpa sebarang hakisan sokongan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, tiada kegagalan di dalam kerajaan lalu yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin, melainkan sedikit kelemahan yang boleh diperbaiki dalam masa terdekat.

Malah, katanya, tindakan sesetengah pihak yang sering membuat analisis seolah-olah mahu melagakan BERSATU dan UMNO, dilihat mempunyai motif tertentu dan tidak relevan.

“Saya menyifatkan kenyataan sesetengah pihak itu lebih merupakan spekulasi tanpa berdasarkan gelombang sokongan rakyat di akar umbi yang begitu jelas sekarang.

“Saya berpandangan tiada kegagalan di dalam kerajaan PN lalu, melainkan sedikit kelemahan yang boleh diperbaiki dalam masa terdekat. Negara kita tidak pernah mengalami pandemik sebegini. Adalah tidak berasas kita menilai kejayaan mahupun kegagalan dalam bentuk vakum tanpa membuat sebarang perbandingan.

“Sebagai rekod, bilangan kes di Malaysia ialah hampir mencecah 1.5 juta dengan kematian sebanyak 13,302. Manakala di United Kingdom (UK) dengan populasi dua kali ganda di Malaysia, bilangan kes ialah sebanyak 6.6 juta dengan kematian sebanyak 131,260. Berdasarkan ini sahaja, jelas pengurusan COVID-19 di Malaysia ternyata lebih berkesan dan berjaya berbanding UK itu sendiri yang merupakan sebuah negara maju,” katanya ketika dihubungi Wacana.my.

Mohamed Farid berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan Malaysiakini bertajuk ‘BERSATU tiada masa depan dalam PRU-15’ yang menyentuh mengenai analisis survival parti itu.

Dalam laporan tersebut, penganalisis menjangkakan hubungan UMNO dan BERSATU tetap akan putus menjelang PRU-15 bagi mengelakkan pertembungan kerusi antara dua parti itu.

Turut diramal, BERSATU lebih mendapat tempias buruk daripada persepsi bahawa PN telah gagal mentadbir negara, berbanding UMNO.

Mohamed Farid, yang juga Ketua Bahagian BERSATU Kota Bharu berkata, laporan artikel itu jelas meleset dan tanpa asas berikutan kenyataan daripada penganalisis terbabit lebih memihak kepada UMNO.

“Jadi kita lihat disini betapa kenyataan kedua-dua pengulas politik tersebut meleset dan tanpa asas. Kenyataan kedua-dua mereka tersebut begitu kental dengan aroma politik memihak UMNO, mungkin bertujuan mempelagakan BERSATU dan UMNO.

“Pada masa yang sama, kita jangan lupa kepada fakta yang paling relevan, iaitu Menteri Kesihatan dan juga Menteri Sains adalah dari UMNO itu sendiri.

“Tiada logiknya jika kita putuskan hubung kait Perikatan Nasional lalu kurang berjaya tanpa menyebut Menteri UMNO yang terlibat secara langsung dalam pengurusan pandemik itu sendiri dalam nafas yang sama.

“Saya tidak memandang kenyataan pengulas politik ini secara serius, rakyat juga boleh bakulkan kenyataan ini ke tong sampah. Mereka sebenarnya yang tidak relevan dan cuba mengulas fakta demi melaga-lagakan BERSATU dan UMNO.”