ISKANDAR PUTERI, 23 Ogos — Tiada kluster membabitkan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini direkodkan di negeri ini, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor diberitahu hari ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Tosrin Jarvanthi.

ADUN BERSATU Bukit Permai itu berkata ia sekali gus membuktikan keberkesanan prosedur operasi dtandard (SOP) ditetapkan yang dilaksanakan di 164 pusat sembelihan berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) di seluruh Johor.

“SOP ibadah korban itu mengambil kira situasi wabak COVID-19 di negeri ini serta pandangan Jabatan Kesihatan Negeri, Jawatankuasa Fatwa Negeri dan JPV Negeri dan mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Walaupun dalam keadaan sukar akibat pandemik COVID-19, ibadah korban tetap dapat dilaksanakan dengan sejumlah 6,037 ekor haiwan ibadan korban disembelih,” kata Tosrin (PN-Bukit Permai) ketika menjawab soalan Najib Lep (PN-Bukit Pasir) pada persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini.

Najib ingin mengetahui mengenai kesan penetapan SOP ketat berhubung pelaksanaan ibadah korban ketika Aidiladha.