KUALA LUMPUR, 24 Ogos — Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Rina Mohd Harun menyantuni penduduk yang tinggal di PPR Seri Alam bagi menyampaikan Bakul Prihatin, khusus kepada mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Katanya, pemberian bantuan bakul makanan itu dibuat ekoran ada di kalangan penduduk sedang dalam proses pemulihan dan kuarantin akibat terkena jangkitan COVID-19.

“Alhamdulillah, saya sempat menyantuni mereka dari hati ke hati sambil mengingatkan betapa pentingnya penjagaan kendiri dalam usaha melawan musuh tidak kelihatan ini.

“Selain itu, saya turut mengagihkan Jalur Gemilang buat mereka bagi menyemarakkan lagi semangat hari kemerdekaan yang bakal disambut 31 Ogos ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga bekas menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berikrar akan terus berusaha membantu dan menghulukan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Ini kerana, katanya, bukan sekadar bantuan bakul makanan, melalui Bakul Prihatin Titiwangsa, denyut nadi penduduk Titiwangsa dapat diselami.

“Saya akan pastikan agar usaha membantu mereka sentiasa diperkasa dari semasa ke semasa demi kesejahteraan bersama.

“Pendaftaran program Bakul Prihatin Titiwangsa juga masih diteruskan.

“Permohonan boleh di buat dengan menghubungi talian 013-8918933,” katanya.