KUALA TERENGGANU, 27 Ogos — Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid yang dikekalkan sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna bertekad mengurangkan bebanan rakyat serta menangani isu kenaikan harga barangan.

Rosol Wahid yang dilantik semula dalam Kabinet diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kepercayaan diberikan akan digalas untuk memastikan rakyat tidak dibeban dengan kenaikan harga pelbagai barangan.

“Terima kasih diucapkan kepada Perdana Menteri kerana memberi kepercayaan kepada saya menjawat jawatan ini.

“Saya berazam membantu Ismail Sabri dalam agenda keluar negara daripada pandemik COVID-19 dan memulihkan ekonomi,” katanya ketika ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai barisan Kabinet baharu, Rosol yang juga Timbalan Badan Pimpinan Parti Pribumi BERSATU negeri berkata, mereka yang dilantik adalah berpengalaman membantu kerajaan memulihkan ekonomi negara ekoran pandemik COVID-19.

“Rakyat dan semua pimpinan politik diminta mendoakan supaya usaha dilakukan kerajaan terutamanya untuk memulihkan ekonomi serta mengeluarkan negara daripada COVID-19 tercapai,” katanya.