KUALA LUMPUR, 27 Ogos -– Datuk Seri Rina Mohd. Harun mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana melantik beliau semula sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Ketua Wanita Perikatan Nasional itu turut merakamkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepercayaan sepanjang berkhidmat di bawah kepimpinannya sebelum ini.

“Terima kasih kepada YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob atas kepercayaan yang diberi. Insya-Allah, amanah yang diberikan ini akan saya pikul dengan penuh tanggungjawab demi Keluarga Malaysia.

“Terima Kasih juga kepada YB Tan Sri Hj Muhyiddin Yassin atas kepercayaan yang diberikan sebelum ini untuk saya menerajui KPWKM,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Selain Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, turut dikekalkan Datuk Zailah Mohd. Yusoff sebagai Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat.