KOTA KINABALU, 28 Ogos — Pelantikan semula dua menteri dari Sabah dalam Kabinet baharu akan membolehkan agenda pembangunan di negeri ini berjalan lancar.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelantikan Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) dan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee sebagai Menteri Pertanian dan Industri Makanan akan membolehkan mereka meneruskan perancangan yang digariskan sebelum ini.

Sejajar dengan itu, kerajaan negeri akan bekerjasama erat bersama Maximus untuk meneruskan tuntutan berkaitan hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan laporan IGC.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah ini berkata, pelantikan Ronald juga begitu penting bagi membantu Sabah mencapai hala tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya dalam bidang pertanian.

Menurut Hajiji, Kabinet baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu disifatkan sebagai pasukan yang berkebolehan untuk menyelesaikan krisis ekonomi yang berlaku akibat pandemik Covid-19.

“Rakyat meletakkan harapan yang sangat tinggi terhadap pasukan baharu ini dan sekarang kita boleh memberi fokus semula untuk menangani pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri melantik empat timbalan menteri dari Sabah iaitu Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yassin; Timbalan Menteri Kerja Raya II, Datuk Arthur Joseph Kurup; Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin dan Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa.

Jelas Hajiji, biarpun Yamani Hafez dan Mohamad adalah muka baharu namun, beliau percaya kedua-dua pemimpin muda itu mempunyai kebolehan dan keupayaan untuk menggalas amanah yang diberikan dengan baik.