KOTA KINABALU, 31 Ogos — Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Sabah disambut dalam suasana yang cukup sederhana di Dewan Bankuasi, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) hari ini.

Majlis yang dihadiri kira-kira 50 tetamu jemputan terdiri daripada barisan Jemaah Kabinet negeri dan pegawai kanan kerajaan itu bermula pada 8.30 pagi dan berakhir kira-kira 9.15 pagi.

Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri turut disiarkan secara maya menerusi saluran YouTube rasmi Kerajaan Negeri Sabah.

Majlis yang dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor turut menyaksikan acara menaikkan bendera dan lafaz ikrar yang disempurnakan oleh 10 orang pegawai daripada jabatan kerajaan berpakaian seragam.

Lafaz ikrar diketuai oleh Mejar Ifdalhidayat Amirsharifuddin dari Tentera Darat Malaysia.

Dalam pada itu, penghargaan turut diberikan kepada petugas barisan hadapan kerana jasa dan pengorbanan mereka sepanjang pandemik Covid-19.

Momento diberikan kepada 10 wakil petugas barisan hadapan yang terdiri daripada wakil Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Imigresen Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam negeri Sabah, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Persatuan Bulan Sabit Merah mewakili semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Sabah; dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Kadzim M. Yahya.

Semalam dalam perutusan Hari Kebangsaan 2021, Hajiji mengajak rakyat di negeri ini untuk sama-sama ketepikan perbezaan dan anasir yang boleh menggugat perpaduan di Sabah.

Beliau berkata, fokus harus diberikan kepada persamaan yang ada bagi membangunkan negara ini dengan lebih baik.

Hajiji berkata, walaupun berdepan pelbagai cabaran, rakyat Malaysia perlu terus bangkit dan bersama kerajaan untuk menempuh saat-saat sukar ini termasuk terus berjuang melawan pandemik Covid-19 yang telah menjejaskan kehidupan serta ekonomi.

Jelas beliau, sejajar dengan tema ‘Malaysia Prihatin’, rakyat Malaysia perlu menghargai jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memastikan negara terus dilindungi serta selamat daripada pandemik Covid-19.