KUALA LUMPUR, 31 Ogos — Barisan Jemaah Kabinet yang baharu dilantik Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu memastikan legasi yang ditinggalkan Tan Sri Muhyiddin Yasin dapat diteruskan demi kepentingan rakyat dan ekonomi negara.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, agenda Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diperkenalkan Muhyiddin sebelum ini perlu segera diteruskan dan diperbaiki sekiranya terdapat kekurangan.

“Kabinet baharu sudahpun dilantik, jadi teruskan legasi yang dibawa Muhyiddin dan perbaiki sekiranya ada kekurangan.

“Selain itu, barisan Kabinet baharu juga perlu segera meneruskan agenda PPN dan memastikan negara berjaya mencapai 80 peratus imunisasi kelompok menjelang bulan Oktober nanti.

“Rakyat sekarang sedang tertekan akibat pandemik, jadi kita perlu segera keluar dari masalah ini,” katanya kepada Wacana.my.

Mengulas lanjut, Mohamed Farid tempoh 100 hari yang diberikan Perdana Menteri kepada barisan Kabinet baharu adalah satu jangka masa yang kritikal bagi membuktikan kewibawaan setiap menteri yang dilantik.

“Perdana Menteri telah menetapkan 100 hari untuk mereka membuktikan kewibawaan mereka dan tempoh ini sangat kritikal.

“Jadi setiap Menteri di kementerian masing-masing perlu merangka usaha dengan segera kerana rakyat juga akan menilai prestasti dan kewibawaan mereka dalam menguruskan hal-hal berkaitan rakyat dan ekonomi negara,” katanya.