SEPANG, 3 Sept — Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan dalaman berhubung pembatalan penyertaan dan kemenangan jaguh lontar peluru kebangsaan Muhammad Ziyad Zolkefli di temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata jawatankuasa itu akan berada di bawah selian Majlis Sukan Negara (MSN) dengan penglibatan anggota bebas.

Katanya jawatankuasa itu akan dipengerusikan mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Borhan Dolah dan ahlinya terdiri daripada bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salim Parlan dan Ketua Jurulatih Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Mohd Manshahar Abdul Jalil.

Ahmad Faizal berkata peranan jawatankuasa itu adalah pertamanya menentukan skop serta bidang tugas jawatankuasa siasatan, menetapkan kaedah pengumpulan maklumat, memanggil dan menemuramah individu yang boleh membantu siasatan serta mendapatkan bahan atau dokumen yang boleh membantu siasatan.

Selain itu skop tugas jawatankuasa itu ialah bagi mengenal pasti isu dan kelemahan yang ada, dan terakhir mengemukakan laporan siasatan serta cadangan penambahbaikan kepada KBS dalam tempoh yang akan ditentukan.

“Jika ada berlaku kesilapan di pihak kita, dalam menguruskan atlet, ini perlu diperbaiki, ini mesti diperbetulkan,” katanya pada sidang media sambutan kepulangan Kontinjen Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

“Apa caranya kita perlu tubuhkan jawatankuasa bebas supaya boleh menasihati saya sendiri sebagai menteri agar dapat membuat keputusan dan tindakan yang betul dan tidak mengikut emosi atau pandangan yang berat sebelah,” kata beliau.

Pada masa sama, beliau berkata usaha untuk memprotes keputusan di Tokyo akan dibuat secara berterusan dengan harapan catatan rekod dunia yang telah dibuat Muhammad Ziyad dapat dikekalkan.

Selasa lepas, Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod baharu dunia.

Beliau telah diklasifikasikan sebagai “Did Not Start (DNS)” atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.