KUALA BERANG, 2 Sept — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bercadang mewujudkan restoran dan kedai makan harga patut di seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata bagi merealisasikan usaha itu pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata, antara inisiatif ditawarkan kepada pengusaha restoran dan kedai makan yang berminat menyertai program harga patut adalah menerima pengurangan harga sewaan premis milik PBT.

“Untuk permulaan, Terengganu dipilih sebagai projek perintis sebelum ia diperluaskan ke seluruh negara.

“Pihak kementerian akan mengadakan perbincangan dengan PBT di seluruh negara bagi membolehkan mereka mengurangkan harga sewaan premis kepada pengusaha dan kedai makan yang akan menyertai program ini,” katanya kepada media pada majlis kesyukuran di kediamannya, semalam.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah dan Ketua BERSATU Bahagian Dungun, Datuk Abdul Aziz Ismail.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, pengusaha restoran dan kedai makan yang ingin menyertai program itu perlu mematuhi harga makanan dan minuman yang ditetapkan oleh KPDNHEP.

“Sebagai contoh, pengusaha restoran dan kedai makan menyediakan pakej untuk makan pagi sekeping roti canai kosong atau telur bersama air teh o dengan harga RM1.

“Jika PBT dapat mengurangkan harga sewaan premis, program restoran dan kedai makan harga patut akan mendapat sambutan pengusaha, sekali gus mampu mengurangkan bebanan masyarakat,” katanya.