KUANTAN, 4 Sept — Sebanyak RM1.85 juta telah diperuntukkan sebagai bantuan kepada penduduk kawasan Parlimen Indera Mahkota yang terjejas ekoran pandemik Covid-19 dalam tempoh Mac tahun lalu hingga Ogos tahun ini.

Menteri Luar merangkap Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, bantuan tersebut berupa bakul makanan, barang makanan, lampin bayi, lampin dewasa dan susu bayi.

Menurutnya, bantuan lain yang dihulurkan ialah pelitup muka, cecair sanitasi tangan dan pelindung muka.

Beliau berkata, perbelanjaan bagi bantuan itu diterima melalui peruntukan kerajaan kepada wakil rakyat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sumbangan individu dan korporat serta Pejabat Parlimen Indera Mahkota.

“Bantuan ini akan diteruskan berdasarkan kemampuan kewangan bagi meringankan beban golongan terkesan,” katanya pada sidang akhbar Majlis Penyerahan Cenderahati kepada petugas kesihatan yang bertugas sepanjang pandemik Covid-19 di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan pada Sabtu.

Saifuddin berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Pejabat Parlimen Kuantan, Paya Besar dan Pekan untuk bertukar maklumat bagi mengelak berlaku pertindihan bantuan dan mengelak ada penerima yang tercicir.

Dalam perkembangan lain, beliau berpuas hati dengan khidmat petugas kesihatan di daerah Kuantan dalam membantu melancarkan program vaksinasi di deerah ini.

“Berdasarkan taklimat ringkas yang diberikan, sehingga Khamis lalu, seramai 262,867 penduduk daerah ini telah menerima vaksin dos pertama dan 194,830 telah menerima vaksin lengkap,” katanya.