KUALA LUMPUR, 4 Sept — Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin dijangka akan mengumumkan peruntukan dalam membaik pulih sekolah yang terjejas akibat banjir di Kedah dan Perlis.

Menurutnya, bagaimanapun pengumuman itu akan dibuat selepas beliau selesai membuat tinjauan di semua sekolah yang terjejas.

“Saya amat berterima kasih kepada pihak sekolah, PIBG, masyarakat setempat dan sukarelawan yang telah sama-sama bergotong-royong membersihkan sekolah-sekolah ini.

“Saya akan teruskan tinjauan ini ke sekolah-sekolah seterusnya.

“InsyaAllah, daripada pemerhatian dan penerangan yang diberikan, saya akan mengumumkan peruntukan sewajarnya bagi membaikpulih sekolah-sekolah ini pada sidang media di akhir lawatan,” katanya dalam entri terbaharu di akaun Facebook rasminya.

Jelas Radzi, beliau akan memulakan tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yan dan Sekolah Kebangsaan (SK) Langkasuka serta beberapa buah sekolah yang terjejas akibat banjir di Yan, Kedah baru-baru ini.

“Setelah seharian di Perlis semalam, hari ini saya di Yan, Kedah bagi meninjau keadaan beberapa buah sekolah yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda daerah ini pada 18 Ogos lepas.

“Pagi ini saya memulakan tinjauan di SMK Yan dan SK Langkasuka. Selain sebahagian bangunan sekolah berkenaan diliputi dengan selut, beberapa bahagian lain seperti pagar, tandas, bilik darjah, perabot dan peralatan sekolah telah mengalami kerosakan teruk kesan daripada bencana tersebut,” katanya lagi.