KOTA KINABALU, 4 Ogos — Beaufort menjadi daerah pertama di Sabah mencapai imuniti kelompok COVID-19 selepas 89 peratus daripada penduduk dewasanya sudah lengkap vaksin setakat semalam.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata ia diikuti daerah Kuala Penyu yang mencatat 76.6 peratus penduduk dewasa sudah lengkap dua dos vaksin.

“Setakat Jumat lalu, 42.4 peratus penduduk dewasa di Sabah sudah memperoleh vaksin lengkap manakala 61.1 peratus memperoleh satu dos.

“Beaufort adalah daerah yang paling tinggi jumlah penduduk yangg sudah melengkapkan pengambilan vaksin iaitu 89.0 peratus, diikuti daerah Kuala Penyu dengan 76.6 peratus,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sabah sebelum ini mensasarkan untuk mencapai 60 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin pada bulan ini, manakala sasaran imuniti kelompok atau 80 peratus penduduk lengkap vaksin disasar dicapai sebelum akhir tahun ini.

Sementara itu, Masidi berkata pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Sabah hari ini menyaksikan sebanyak 22,132 suntikan dos pertama vaksin diberikan kepada penerima vaksin di seluruh negeri, manakala sebanyak 22,770 suntikan dos kedua.

Katanya, pada hari ini juga sebanyak 7,484 orang menerima vaksin dos tunggal CanSino menjadikan jumlah kumulatif penerima vaksin berkenaan setakat ini seramai 36,410 orang.