KUALA PILAH, 5 Sept — Pembinaan jalan baharu perlu diwujudkan sebagai usaha mengatasi masalah kesesakan jalan raya di laluan Seremban-Kuala Pilah terutama pada hujung minggu dan musim perayaan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Eddin Syazlee Shith.

Beliau berkata cadangan ini akan diusulkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada Rolling Plan Kedua dijangka melibatkan kos kira-kira RM450 juta hingga RM500 juta.

“Jalan baharu itu melibatkan sepanjang kira-kira 25 kilometer merangkumi laluan dari Bukit Putus melalui Beting, Juasseh seterusnya ke daerah Jempol.

“Jika laluan ini berjaya dilaksanakan maka proses pemulihan masalah lalu lintas dapat diselesaikan serta memudahkan lagi kemajuan dan pembangunan di Kuala Pilah itu sendiri,” katanya kepada pemberita selepas Program Rasa Sayang Coway bersama Parlimen Kuala Pilah di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Pilah itu berkata laluan baharu tersebut juga turut melancarkan perjalananan pengguna jalan raya yang ingin ke pantai timur.

Mengenai program itu, Eddin Syazlee berkata kira-kira 200 surau, 69 masjid dan beberapa rumah penduduk sekitar Kuala Pilah yang dikesan mempunyai kes COVID-19 menerima perkhidmatan sanitasi percuma oleh Coway yang merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu.