KUALA LUMPUR, 5 Sept – Bekas juara dua tahun berturut-turut pertandingan deklamasi puisi sekolah-sekolah Malaysia 2016 dan 2017, Muhammad Airil Fitri Jalaluddin merangkul kejuaraan dalam Pertandingan Deklamasi Puisi Bersatu Dalam Perjuangan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun BERSATU yang ke-5, di ibu negara hari ini.

Muhammad Airil, 21, berkata beliau tidak menjangka dapat merangkul kejuaraan dalam pertandingan anjuran BERSATU setelah empat tahun berehat daripada dunia puisi.

“Bersyukur kepada Allah S.W.T di atas kemenangan ini. Saya menjalani latihan selama lima hari sebelum hari pertandingan.

“Seronok tu ada dan secara tak langsung ini membuktikan saya masih ada aura untuk deklamasi sajak walaupun empat tahun berehat,” katanya ketika dihubungi Wacana.my.

Dalam pertandingan yang melibatkan 10 peserta itu, Muhammad Airil memenangi hadiah wang tunai RM2,000, voucher RM1,500 dan sijil penyertaan.

Hadiah kemenangan itu disampaikan Pengarah program yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Katanya, beliau berterima kasih kepada Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, yang juga Ketua BERSATU Bahagian Pasir Salak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang menulis karya puisi yang bertajuk ‘Sajak Perjuangan Bangsa’ pada 2 September lalu dan memberi peluang kepadanya untuk menyertai pertandingan itu.

“Selain Datuk Zainol, saya turut berterima kasih kepada mentor, Azmi Ismail iaitu bekas juara sayembara deklamasi puisi kebangsaan anjuran GAPENA 2012, dan guru saya, Yusrizal Mokhlas,” katanya yang juga Penolong Setiausaha Armada Bahagian Pasir Salak.