ISKANDAR PUTERI, 6 Sept — Projek Transit Bas Rapid Iskandar Malaysia (IMBRT) yang dianggarkan menelan kos RM2.56 bilion bakal memulakan operasi menjelang akhir tahun 2023.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Solihan Badri berkata, projek terbabit kini sudah 21.57 peratus pelaksanaannya selain Program Ujian Rintis Bas Transit Rapid ( BRT) yang bermula 8 April lalu.

Katanya, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) membelanjakan RM151juta bagi memuktamadkan reka bentuk kejuruteraan infrastruktur, menilai reka bentuk keperluan operasi dan kewangan, kerja-kerja penyiasatan dan pengambilan balik tanah.

“IMBRT merupakan sistem BRT komprehensif yang pertama di Malaysia dan akan menjadi tulang belakang kepada sistem pengangkutan awam di Iskandar Malaysia.

“Projek ini akan akan disambung ke projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura, Lapangan Terbang di Senai; Larkin Sentral, Landasan Berkembar Kempas dan terminal feri di Stulang Laut dan Iskandar Puteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Cheo Yee How ( Perling-DAP) berhubung perkembangan terkini BRT pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri ( DUN) Johor ke-14 pada Isnin.

Solihan yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU Tenang menambah, reka bentuk terperinci bagi jajaran Iskandar Puteri telah siap sepenuhnya dan akan dibentangkan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dalam masa terdekat.

Selain itu katanya, reka bentuk terperinci bagi jajaran Skudai dan Tebrau akan dimuktamadkan setelah mengambil kira maklum balas terhadap jajaran Iskandar Puteri.

“IRDA juga telah mengadakan sesi pembentangan dan libat urus laluan perkhidmatan IMBRT bersama agensi-agensi berkepentingan seperti Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ).

“Perbincangan turut diadakan dengan Majlis Bandaraya Johor Bahru ( MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang ( MBPG), Majlis Perbandaran Kulai ( MPKu), Majlis Perbandaran Pontian ( MPPn) dan Majlis Daerah Kota Tinggi ( MDK) bagi menyemak laluan dan mendapatkan sokongan,” katanya.