SEPANG, 6 Sept — Ketika rakyat Malaysia meraikan kecemerlangan atlet negara pada temasya Paralimpik Tokyo 2020 yang menutup tirai semalam, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu mengambil kesempatan itu untuk mengorak langkah memperkasakan lagi agenda golongan kurang upaya (OKU).

Menterinya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata sudah tiba masanya pindaan terhadap Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 dilakukan bagi merapatkan jurang sedia ada, selain memberi lebih kemudahan dan akses kepada golongan itu berdasarkan peredaran masa, lebih-lebih lagi ketika berdepan pandemik COVID-19.

Sebagai permulaan, beliau memohon semua pihak menyediakan perkhidmatan penting seperti bantuan kebajikan, perbankan, makanan dan peruncitan, terutamanya secara dalam talian dengan memastikan ia benar-benar dapat diakses secara menyeluruh serta menitikberatkan kemudahan digital bagi OKU menjalani urusan harian mereka.

“Begitu juga dengan peluang pekerjaan, dengan dasar satu peratus pengambilan pekerja golongan OKU di sektor awam dapat direalisasikan sepenuhnya. Saya berharap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dapat meningkatkan jumlah peluang pekerjaan kepada golongan ini dan saya yakin sektor swasta juga akan mencontohinya.

“Ahli keluarga Paralimpik kita yang kini dikenali di seluruh dunia sebagai WeThe15 yang mewakili 15 peratus atau bersamaan 1.2 bilion penduduk dunia, mesti diberikan hak setara dengan setiap warganegara Malaysia. Kita perlu mengambil tindakan yang betul, sekarang juga, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika menyambut kepulangan kelompok terakhir kontinjen negara dari Tokyo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, petang tadi.

Ahmad Faizal turut meminta semua pihak memberi sokongan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), terutamanya yang melibatkan OKU dengan memperkenalkan langkah baharu bagi membangunkan PKS yang mampan, selain tidak melupakan golongan itu yang masih memerlukan penambahbaikan antaranya membabitkan pengangkutan dan bangunan awam.

Katanya komitmen rakyat Malaysia dalam hal ini adalah satu-satunya cara menghargai golongan istimewa itu sebagai sebahagian daripada rakyat Malaysia yang mampu membangunkan dan mengharumkan nama negara.

“Sebagai sebuah keluarga, menjadi tanggungjawab semua pihak membantu golongan OKU. Usaha membangunkan atlet Paralimpik tidak hanya terletak kepada KBS sahaja, pendekatan secara holistik segenap lapisan masyarakat bermula dengan kerjasama kerajaan Persekutuan dan negeri,” jelasnya.

Kejayaan membawa pulang tiga butir emas dan dua perak dari Tokyo 2020, merupakan pencapaian terbaik Malaysia sejak menyertai edisi pertama temasya itu pada 1972 di Heidelberg, Jerman, yang sekali gus mengatasi pencapaian tiga emas dan satu gangsa di Rio 2016.