KUALA  LUMPUR, 9 Sept — BERSATU akan berusaha untuk memastikan ada kesatuan di antara parti politik Melayu iaitu Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi mengelakkan berlakunya perpecahan undi.

Ketua Penerangan BERSATU Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru di antara parti politik Melayu, perkara tersebut akan merugikan semua pihak dan memberi keuntungan kepada kelompok pembangkang.

“Pandangan saya, adalah lebih baik sekiranya dapat dipastikan berlakunya perlawanan satu lawan satu iaitu kita berada di kelompok kerajaan dan melawan calon dari pembangkang iaitu Pakatan Harapan (PH).

“Persoalan yang selalu orang tanya kepada saya ialah apa yang akan terjadi kepada BERSATU, PAS dan UMNO pada PRU-15.

“Jawapan saya senang sahaja, jika undi Melayu pecah akibat pertembungan tiga penjuru parti politik Melayu, yang ruginya adalah dua kelompok daripada parti Melayu dan yang untungnya kepada pembangkang.

“Jadi BERSATU akan berusaha untuk memastikan ada kesatuan parti-parti politik Melayu,” katanya dalam sidang media khas sempena sambutan Ulang Tahun BERSATU ke-5, pada Khamis.

Majlis sambutan secara rasmi Ulang  Tahun BERSATU ke-5 akan diadakan esok (Jumaat) pada 9 malam.

Majlis itu akan disiarkan secara langsung di Facebook rasmi parti dan Facebook Muhyiddin Yassin.

Mengulas mengenai potensi BERSATU pada PRU15, beliau yakin parti itu mempunyai potensi yang cerah kerana rakyat dapat menilai dengan baik segala usaha yang telah dilakukan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menjadi perdana menteri.

“Potensi kita jelas dan saya yakin rakyat dapat melihat perjuangan kita dalam membela nasib mereka.

“Jika dilihat dari segi rekodnya, dari segi bantuan, program-program pemulihan negara dan perancangan kita untuk negara pada masa akan datang, saya lihat itu adalah satu rekod yang cemerlang.

“Sebagai bukti, segala perancangan yang diusahakan Tan Sri Muhyiddin Yassin suatu ketika dahulu diteruskan oleh kerajaan baharu pada masa kini dan ini jelas menunjukkan kemampuan kita bukan sahaja dari segi merancang, tetapi kita juga mampu melaksanakannya,” katanya.