KUALA LUMPUR, 9 Sept — Penglibatan BERSATU sepanjang setengah dekad dalam arena politik dilihat telah mengubah landskap politik negara.

Ketua Bahagian BERSATU Labuan Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata, penerimaan rakyat khususnya orang Melayu terhadap BERSATU yang meningkat saban hari membuktikan perjuangan dan agenda yang dibawa parti tersebut mulai mendapat tempat dalam hati rakyat.

“Jika dahulu UMNO dominan untuk orang Melayu, tetapi kini mereka ada pilihan.

“Sekarang ini kita dapat lihat sokongan rakyat kepada BERSATU juga semakin meningkat dan kemasukkan ahli-ahli baru juga semakin bertambah dari semasa ke semasa.

“Sebagai contoh, pada tahun 2019 bilangan ahli BERSATU untuk Labuan adalah sekitar 200 orang tetapi kini dianggarkan seramai 7,000 orang sudah mendaftar menjadi ahli BERSATU.

“Walaupun usia kita masih muda dalam kancah politik, tetapi dengan sokongan seperti itu jelas membuktikan kita sudah mulai diterima dalam kalangan masyarakat Malaysia,” katanya ketika dihubungi Wacana.my.

BERSATU akan menyambut ulang tahun kelima pendaftaran parti itu secara dalam talian melalui laman rasmi Facebook Bersatu Malaysia bermula jam 9 malam pada Jumaat ini.

Mengulas lanjut, sekiranya tampuk kepimpinan BERSATU yang diketuai Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus memperjuangkan agenda untuk rakyat, beliau yakin penerimaan rakyat terhadap parti itu akan terus kekal sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Justeru, Suhaili menggesa setiap pemimpin khususnya pemimpin-pemimpin BERSATU untuk terus mengekalkan perpaduan yang sedia ada dalam kalangan blok kerajaan.

“Saya rasa perpaduan yang sedia ada ini harus dikekalkan supaya kerajaan dapat terus fokus untuk bantu rakyat dan menggerakkan ekonomi negara ke satu tahap yang lebih baik,” katanya.