KUALA LUMPUR, 10 Sept — Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kesal dengan tindakan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik yang menunding jari kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu projek 1BestariNet.

Ketua Penerangannya, Mohd Asyraf Mustakim Badrul Munir berkata, Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan seolah-olah tidak menghormati dan tiada rasa terhutang budi kepada Muhyiddin.

“Mungkin ramai yang tidak tahu orang yang membawa Maszlee masuk ke dalam Bersatu dan menamakan beliau sebagai calon di Parlimen Simpang Renggam ialah Muhyiddin.

“Bayangkan daripada seorang pensyarah biasa, pertama kali menjadi calon dalam pilihan raya dan kemudian terus jadi Menteri yang agak kanan kedudukannya dalam kabinet.

“Presiden parti (Muhyiddin) yang memberikan Maszlee peluang untuk naik dalam politik dan jadi rakan sejawatnya dalam kabinet,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau pada Khamis.

Pada Isnin, Maszlee melalui bukunya yang bertajuk ‘Memori Bukan Memoir’ mendakwa Muhyiddin mendorong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya mendesak Maszlee meletakkan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan.

Maszlee berkata, tindakan berkenaan berkait rapat dengan kontrak melibatkan YTL Communications Sdn Bhd yang juga penyedia perkhidmatan untuk projek 1BestariNet.

Mengulas lanjut, Mohd Asyraf berkata, perwatakan Maszlee dilihat jauh berbeza dengan Muhyiddin yang diibaratkan umpama langit dan bumi.

“Saya perhatikan perjalanan politik Maszlee. Masih belum jauh perjalanannya.

“Tetapi saya nampak jelas kekaburan prinsip Maszlee. Adakah dia seorang yang berprinsip atau hanya seorang oportunis,” soal beliau.