KUALA LUMPUR, 10 Sept — Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada pemimpin parti itu yang dilantik menganggotai Jemaah Menteri di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau turut menasihatkan supaya Jemaah Menteri berkenaan menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan cemerlang dan penuh integriti kerana rakyat sedang memerhati dan menilai parti berdasarkan prestasi mereka.

“Saya doakan agar anda semua akan dapat memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dan negara serta mengharumkan nama parti kita.

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pimpinan dan ahli parti komponen Perikatan Nasional, iaitu PAS, STAR, SAPP dan GERAKAN yang setia bersama kita dalam saf perjuangan ini.

“Ucapan terima kasih dan penghargaan juga kepada pimpinan parti rakan iaitu GPS, MCA, MIC, PBRS dan PBS,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Kelima BERSATU secara maya, malam ini.

Bekas Perdana Menteri itu juga mengajak ahli BERSATU supaya terus memberi sokongan kepada Ismail Sabri dalam usaha beliau dan barisan Jemaah Menterinya menjaga kebajikan rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi dan memulihkan negara.

“Sempena sambutan Ulang Tahun Kelima BERSATU pada tahun ini, saya ingin mengucapkan selamat ulang tahun kepada semua ahli BERSATU di seluruh pelusuk negara.

“Insya-Allah, kita akan terus istiqamah dalam wadah parti kita dan mara dengan gagah perkasa menjulang obor perjuangan parti,” katanya.