PUTRAJAYA, 11 Sept — Pemberian hak kewarganegaraan secara automatik kepada bayi yang dilahirkan di luar negara oleh ibu kandung berstatus warganegara Malaysia dan pasangan rakyat asing memberi sinar baharu kepada aspirasi kelestarian insaniah wanita nasional.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata pemberian taraf warganegara tersebut mampu mencerminkan ketrampilan kerajaan yang pada hakikatnya mewujudkan kesamarataan pada golongan wanita terutamanya mereka yang bergelar ibu.

“Kesamarataan itu juga akan menyerlahkan lagi daya pembangunan wanita dalam pelbagai aspek yang boleh diterjemahkan kepada usaha-usaha bermanfaat ke arah menyemarakkan semangat Keluarga Malaysia,” katanya dalam catatan terbaharunya menerusi laman Facebook rasmi beliau mengenai kerakyatan automatik bayi lahir di luar negara, di sini hari ini.

Rina berkata beliau menyambut baik keputusan penghakiman oleh Hakim Mahkamah Tinggi pada 9 Sept lalu yang telah memutuskan pemberian hak kewarganegaraan secara automatik kepada bayi yang dilahirkan di luar negara oleh ibu kandung berstatus warganegara yang berkahwin dengan lelaki warganegara luar.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir yang membuat keputusan itu dalam penghakimannya berkata, perkataan ‘bapa’ dalam Jadual kedua Perlembagaan Persekutuan mesti bermaksud dan merangkumi ibu.

Beliau membuat keputusan itu ketika membenarkan saman pemula yang difailkan bagi menuntut perisytiharan bahawa anak wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan pasangan rakyat asing secara automatik layak memperoleh kewarganegaraan walaupun mereka dilahirkan di luar negara.

Saman itu difailkan kumpulan hak asasi Family Frontiers dan enam wanita warga Malaysia pada 18 Dis tahun lepas.