NIBONG TEBAL, 11 Sept — Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedia mengaturkan satu pertemuan khusus melibatkan dua buah kerajaan negeri iaitu Pulau Pinang dan Kedah bagi membantu menyelesaikan isu air yang membelenggu kedua-pihak selama ini.

Isu itu berlaku susulan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang dilihat memberi kesan negatif jangka panjang terhadap keadaan aliran air di Sungai Muda, Kedah serta pengguna air di kedua-dua buah negeri itu.

Justeru, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman berkata, pihaknya akan memanggil barisan kepimpinan di Kedah dan Pulau Pinang termasuk Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) selaku pengeluar sumber air mentah untuk perbincangan lanjut dalam masa terdekat ini.

“Dalam hal ini, kedua-dua pihak, masing-masing ada kepentingan dia yang tersendiri. Kedah ada hujah dia, Pulau Pinang pun ada hujah dia.

“Apapun, seboleh-bolehnya kita akan cari jalan penyelesaian terbaik supaya situasi ‘menang-menang’ antara mereka dapat dicapai,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian ketika meluangkan masa mengunjungi beberapa buah rumah mangsa ribut di Kampung Tasek Cempedak dan Taman Tasek Maju di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang Rabu lalu itu, kira-kira 32 buah rumah di kedua-dua kampung terjejas selepas dilanda ribut serta angin kuat hingga mengakibatkan kepingan atap serta bumbung rumah dan beberapa bahagian rumah yang lain rosak dan tercabut.

Mengulas mengenai kejadian itu, kata Mansor, pihaknya yang mewakili pusat khidmat kawasan Parlimen Nibong Tebal telah ‘turun padang’ untuk melihat sendiri kesan bencana tersebut terhadap penduduk setempat.

Pada masa yang sama katanya, mereka turut menyampaikan bantuan kewangan serta barangan keperluan harian dengan kerjasama beberapa agensi lain termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pihak saya juga akan menilai kerosakan yang dialami oleh penduduk dengan bantuan ICU (Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri) di peringkat negeri sebelum kerja-kerja baik pulih dijalankan dalam masa terdekat ini,” katanya.